Isnin, 20 Jun 2011

ADAT RESAM MELAYU .menyambut kelahiran.

MENYAMBUT KELAHIRAN
Anak adalah merupakan sesuatu yang amat bernilai bagi setiap pasangan yang telah mendirikan rumahtangga. Ini kerana di samping menceriakan suasana rumahtangga, anak merupakan zuriat penyambung keturunan bagi sesebuah keluarga.
Biasanya, seorang isteri akan mula menunjukkan tanda-tanda sedang mengandung apabila berasa loya dan sering muntah-muntah. Pada waktu begini,

 isteri biasanya lebih gemarkan makanan yang masam untuk mengurangkan rasa mual seperti memakan mangga muda, mempelam mahupun asam atau jeruk.

Bagi masyarakat Melayu, sebaik sahaja berita gembira tersebut diketahui, si isteri akan dijaga bagai menatang minyak yang penuh oleh suami dan ahli keluarganya yang lain, tambahan pula jika anak yang dikandung adalah anak sulung atau

dipanggil bunting sulung. Pada waktu begini, si isteri biasanya akan mengalami perasaan pelik-pelik seperti mengidam. Mengidam ialah keadaan di mana

seseorang terlalu berkeinginan untuk melakukan sesuatu atau makan sesuatu yang biasanya tidak pernah diminta sebelum ini. Permintaan isteri tersebut adalah perlu ditunaikan oleh suami walau apa jua rintangan dan halangan yang harus ditempuhi. Ini kerana dalam adat dan kepercayaan Melayu, sesuatu yang buruk akan menimpa ibu dan anaknya jika apa yang diidamkan tidak dapat dipenuhi.

Selain itu, kedua-dua suami isteri haruslah menjaga adab dan kelakuan mereka sepanjang tempoh isterinya mengandung. Ini adalah kerana dalam kepercayaan Melayu, wujud keadaan mengenan atau kecacatan kepada sifat fizikal bayi sekiranya salah seorang dari ibu bapanya melakukan penganiayaan terhadap haiwan atau sebagainya.

 Fenomena sumbing dikatakan salah satu contoh keadaan yang akan menimpa bayi sekiranya si suami pergi memancing ikan ketika isterinya sedang mengandung. Mulut bayi akan kelihatan seperti tertarik ke atas seolah-olah mulut ikan yang telah tersangkut pada pancing. Keadaan-keadaan lain yang turut dapat dijadikan contoh adalah seperti kulit yang bersisik seperti ular ataupun keadaan rupa paras yang seakan-akan rupa monyet.

Bukan itu sahaja, pasangan yang bakal menimang cahayamata juga dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan bacaan surah-surah yang terpilih dari Al-Quran, misalnya Surah Yusof dan Surah Muhammad. Surah Yusof diamalkan untuk memperolehi anak yang elok rupa parasnya dan Surah Muhammad diamalkan dengan harapan anak yang bakal lahir akan cerdik dan pandai serta mempunyai sifat terpuji.

Mengikut adat dan kepercayaan Melayu, barang-barang persiapan untuk menyambut kelahiran bayi seperti peralatan bayi, buaian, mandian dan pakaiannya tidak boleh disediakan selagi kandungan ibu belum mencukupi lima bulan. Ini kerana dikhuatiri sesuatu yang buruk akan menimpa bayi tersebut, seperti keguguran ataupun mengikut kepercayaan akan dicuri Orang Bunian.

Selain itu, perlakuan si ibu sepanjang tempoh mengandung akan turut mempengaruhi bayi apabila lahir kelak. Maka, orang tua-tua berpendapat bahawa ketika mengandung, si ibu perlulah sentiasa bermanis muka dan ringan tangan supaya anak yang bakal dilahirkan akan bersifat sedemikian setelah lahir.

Setelah genap sembilan bulan, kelahiran bayi akan disambut dalam suasana yang penuh kesyukuran dan kegembiraan oleh seisi keluarga. Selepas dibersihkan oleh bidan, sekiranya bayi tersebut lelaki, si bapa atau datuknya akan mengazankan di telinga kanannya, manakala bagi anak perempuan akan diiqamatkan di telinga kirinya. Ini adalah ritual yang pertama sekali dilakukan ketika menyambut kehadiran satu lagi insan di dalam dunia

 ini yang dilahirkan dalam adat Melayu. Kemudian, tali pusat akan dipotong bagi memisahkannya dari alam yang gelap di perut ibu ke alam baru yang menantinya. Menurut sesetengah kepercayaan, bayi dikatakan menangis ketika dilahirkan kerana terkejut melihat keadaan alam yang penuh dosa. Ada pula yang mengatakan bayi tersebut ditakut-takutkan oleh hantu syaitan, dan tidak kurang juga ada yang mengatakan bayi tersebut menangis kerana takut dengan beban yang bakal dipikulnya dalam kehidupan kelak.

Setelah selesai dimandikan, si bapa akan berperanan menanam uri bayi seperti upacara pengkebumian jenazah. Ini kerana uri dianggap sebagai saudara kembar dan teman bayi sewaktu di dalam perut ibu. Ia perlu ditanam dengan sempurna supaya tidak datang mengganggu bayi. Di antara pantang larang menanam uri ialah uri tidak boleh

ditanam di luar rumah kerana dipercayai anak tersebut apabila dewasa akan sukar dikawal perlakuannya. Ini juga bagi mengelakkan berlakunya penyalahgunaan oleh pihak tertentu yang ingin menjalankan upacara perbomohan atau pemujaan.
Kesemua adat dan upacara menerima kehadiran orang baru ini termasuk dalam salah satu jenis ritual iaitu dinamakan Rites of Initiation.


Ahad, 19 Jun 2011

ADAT RESAM MELAYU. mandi selepas berpantang.

MANDI SELEPAS PANTANG

Selepas tamat tempoh berpantang, iaitu selepas empat puluh empat hari, maka pada hari yang keempat puluh lima akan diadakan kenduri kecil di antara ahli keluarga. Ibu tersebut akan dimandikan dengan air sintok limau serta dilangirkan sebagai syarat melepaskan pantang. Bermula dari hari tersebut, maka ibu itu bebas menjalankan kerja-kerja rumahtangga atau sebarang pekerjaan lain. Berpantang sebenarnya bertujuan bagi mengelakkan bentan yang bermaksud sakit yang akan timbul akibat daripada melanggar pantang. Antara gejala bentan ialah rasa sakit di ari-ari atau kemaluan, keluar nanah atau darah dari saluran peranakan ataupun berlakunya buasir. Adalah digalakkan bagi suami isteri untuk bersama setelah tamat upacara mandi selepas pantang kerana ini akan mengeratkan kemesraan di antara keduanya.


SAMBUT-MENYAMBUT (BERTANDANG)

Pada petang hari upacara mandi-mandian itu dijalankan, kedua-dua pengantin suami isteri akan disambut ke rumah pengantin lelaki, iaitu ke rumah suaminya. Di kalangan sesetengah orang berada pada masa dahulu, adat menyambut ini akan dilakukan dengan secara besar-besaran juga, iaitu dengan mengarak kedua-dua pengantin itu dan disandingkan sekali lagi sambil diadakan jamuan kenduri-kendara. Mereka akan tinggal di rumah pengantin lelaki selama beberapa hari sebelum pulang semula ke rumah pengantin perempuan. Inilah penamat upacara nikah kahwin dalam masyarakat Melayu.

ADAT RESAM MELAYU. mandi berlimau.

MANDI-MANDIAN ATAU BERLIMAU
Setelah sempurna kedua-dua pengantin suami isteri itu menunaikan satu daripada hikmah perkahwinan, maka akan diadakan sekali lagi persandingan di atas pelamin.

Namun, pengantin tidak akan dipakaikan dengan pakaian pengantin dan persandingan ini hanya melibatkan sanak saudara sahaja. Setelah bersanding, kedua-duanya akan turun duduk di bangku yang terletak di tengah tengah rumah itu dan di-sinilah dijalankan upacara mandi-mandian dan bersintok limau sebagai menandakan persatuan antara

kedua pengantin suami isteri itu telah sempurna dan selamat. Setelah kedua-duanya selesai dimandi dan disintok limaukan mengikut syarat, mereka pun dibawa oleh emak pengantin ke bilik peraduan pengantin dengan keadaan suami memimpin isterinya

dengan memegang sehelai sapu tangan masuk ke bilik. Manakala di luar, sekalian hadirin yang ada akan menyiram air tersebut sesama mereka sambil bersuka ria. Air yang digunakan untuk upacara ini disediakan dalam pelbagai warna bagi menambah kecantikannya dan dianggap sakral bagi masyarakat Melayu.


Kain basahan yang dipakai oleh pengantin suami isteri itu mengikut adat tidak boleh diambil oleh mereka. Kain tersebut akan dijadikan hadiah pemberian kepada emak pengantin. Menurut adat Melayu, bukan sahaja kain basahan itu tidak boleh diambil semula oleh kedua pengantin itu malah mereka juga ditegah untuk memerah

sendiri kain tersebut. Ini semua bertujuan untuk membuang rasa takut atau menolak bala daripada kedua-dua pengantin itu. Kain tersebut akan diambil dan disimpan oleh emak pengantin bagi membantu membuang dan menjauhkan bala.

ADAT RESAM MELAYU. berinai di pelamin.

BERINAI DI PELAMIN
Sungguhpun adat berinai di pelamin ini tidak lagi dijalankan oleh masyarakat sekarang, akan tetapi masih juga terdapat keluarga yang tetap mengamalkannya. Ini kerana adat menginai ini memerlukan perbelanjaan yang lebih besar dan agak rumit, maka hal ini menyebabkan upacara ini semakin dilupakan. Adat berinai di pelamin ini dilakukan dalam 3 peringkat. Pada kali pertama ia dinamakan berinai curi, pada kali kedua dinamakan berinai kecil dan pada kali ketiga dinamakan berinai besar.
Dalam kebanyakan negeri, biasanya adat berinai di pelamin ini dijalankan pada malam hari. Berbeza dengan negeri Johor, upacara ini dijalankan di sebelah petang.
Upacara berinai akan dijalankan sebelum upacara akad nikah dan bersanding. Dalam majlis tersebut, anak dara itu akan dipakaikan dengan pakaian yang indah-indah, iaitu pakaian pengantin, lalu dibawa duduk di atas pelamin yang terletak di ruang tamu. Anak dara itu akan duduk di hadapan sekumpulan kaum keluarga dan sahabat handai yang biasanya terdiri daripada kaum perempuan. Bagi upacara berinai curi dan berinai kecil, hanya pengantin perempuan sahaja yang akan duduk di atas pelamin dan diinaikan. Pengantin lelaki akan datang ke rumah pengantin perempuan untuk diinaikan pada upacara berinai besar. Dalam upacara tersebut, pengantin perempuan akan diinai terlebih dahulu di atas pelamin. Setelah selesai, pengantin perempuan akan dibawa masuk ke dalam bilik dan pengantin lelaki pula akan diinaikan di atas pelamin. Ringkasan cara menginai di atas pelamin itu adalah seperti berikut :
Di atas pelamin, di hadapan pengantin itu akan diletakkan sebuah pahar berkaki tinggi yang disusun dengan beberapa bekas dan piring, satu berisi beras kunyit, satu berisi bertih dan satu lagi berisi air tepung tawar yang lengkap dengan perenjisnya. Di tengah-tengah pahar itu diletakkan sebiji astakona kecil berisi inai yang sudah siap digiling halus. Pengantin akan diinaikan secara bergilir-gilir oleh ahli keluarga dan upacara akan dimulakan dengan ahli keluarga lelaki yang berpangkat tua-tua seperti datuk, bapa dan bapa saudara.
Mula-mula, sejemput beras kunyit akan diambil dari bekas yang di atas pahar tersebut dan dihamburkan ke kiri dan kanan pengantin. Kemudian, diikuti dengan sedikit bertih dan akhir sekali perenjis tepung tawar akan dicicahkan sedikit ke dalam bekas berisi air tepung tawar lalu ditepukkan sedikit ke atas belakang tangan pengantin yang berada di atas ribaan pengantin itu. Akhir sekali, inai akan dicubit sedikit dari astakona inai dan dicalitkan di tapak tangan yang sudah beralas dengan daun sirih. Setelah selesai, emak pengantin akan menyusunkan jari kedua-dua tangan pengantin itu dan diangkatkan ke muka pengantin seperti orang menyembah. Dalam adat ini, bilangan orang lelaki yang hendak menginaikan pengantin mestilah ganjil, iatu tiga, lima atau tujuh orang. Setelah tamat diinaikan oleh orang lelaki, mereka akan keluar daripada majlis itu dan upacara diteruskan oleh orang perempuan dengan cara yang sama juga. Cara yang sama akan dilakukan dalam setiap majlis berinai tidak kira ianya majlis berinai curi, berinai kecil atau berinai besar. Apa yang berbeza hanyalah pengantin lelaki akan turut diinai dalam adat berinai besar.


ADAT RESAM MELAYU. bercukur jambul.

BERCUKUR JAMBUL
Selepas tujuh hari dari hari bersalin, lazimnya diadakan kenduri nasi kunyit, kerana itulah harinya adat mencukur kepala anak kecil itu dijalankan. Kelengkapan yang disediakan untuk adat mencukur ini adalah seperti berikut:
•  Anak kecil atau bayi itu dipakaikan dengan pakaian yang cantik dan diletakkan dia di atas tilam kecil.
•  Satu dulang berisi tiga biji mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
•  Sebiji kelapa mumbang yang besar sedikit dipotong pada arah kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku-keluang dan dijadikan penutupnya daripada potongan itu. Air kelapa itu dibuang dan diisi ke dalamnya sedikit air sejuk, dan kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil semuat-muat kelapa itu sahaja. Biasanya, kelapa itu dihiasi dengan lilitan rantai emas atau perak dan dicucuk dengan tajuk-tajuk rekaan yang indah-indah rupanya.
Apabila kesemuanya sudah siap, maka bayi itu pun dibawa keluar dan dikelilingkan kepada tetamu-tetamu lelaki yang hadir dan setiap seorang daripada mereka dikehendaki menepuk sedikit tepung tawar, menebar sedikit beras kunyit dan bertih kepada bayi itu. Setelah perkara tersebut dilakukan, barulah tetamu-tetamu lelaki tadi menggunting sedikit sahaja rambut bayi itu dengan gunting yang telah disediakan. Lalu rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam kelapa yang telah diisi air. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi itu hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima atau tujuh atau seumpamanya. Pada masa inilah anak itu diberi nama oleh si bapa. Nama yang diberi adalah nama yang indah dan memberi maksud yang baik. Setelah selesai adat bercukur dan memberi nama anak yang telah dilakukan oleh pihak lelaki, anak itu akan dibawa masuk ke dalam rumah itu dan hal seperti menggunting rambut anak itu dilakukan pula oleh pihak perempuan.
Setelah selesai kedua-dua pihak lelaki dan perempuan menjalankan perkara di atas, maka barulah kepala anak itu dicukur seluruhnya oleh tok bidan atau sesiapa yang mahir dengan kerja itu. Rambut anak yang telah dicukur itu dimasukkan semuanya ke dalam kelapa itu dan segala rantai dan tajuk-tajuk yang menghiasi kelapa itu dibuka dan dicabut. Kemudian kelapa itu biasanya akan ditanam di mana-mana di halaman rumah bersama-sama sepohon kelapa atau lain-lain seumpamanya sebagai peringatan masa anak itu dilahirkan pada masa hadapan kelak. Namun begitu, orang Melayu di bandar yang sudah moden sekarang tidak banyak lagi menjalankan adat ini, rata-rata orang Melayu kampung sahaja yang masih banyak dan gemar melakukan adat resam mencukur dan menamakan anak. Berkenaan dengan menamakan anak undang-undang kerajaan telah menetapkan bahawa anak yang baru dilahirkan perlulah diberi nama dalam tempoh 24 jam kerana dalam tempoh itu anak yang telah diberi nama itu dikehendaki didaftarkan di pejabat pendaftaran.


ADAT RESAM MELAYU. meminang & bertunang.

MEMINANG DAN BERTUNANG
Setelah kata persetujuan dicapai oleh keluarga di pihak lelaki, wakil dari pihak lelaki yang biasanya dipilih dari kalangan orang tua-tua akan diutuskan oleh ibu bapa lelaki tersebut untuk mewakili mereka meminang anak dara yang telah dipilih. Biasanya, ibu bapa kepada

anak dara tersebut tidak akan memberi jawapan yang muktamad kepada pihak yang datang meminang kerana mengikut adat, mereka sepatutnya diberi tempoh untuk memberi jawapan atau

dipanggil bertangguh. Ini kononnya kerana hendak berpakat dengan ahli-ahli keluarga dan waris yang rapat, walaupun sebenarnya mereka memang sudah bersedia untuk menerima pinangan itu.

Sebenarnya, adat bertangguh ini mencerminkan budaya Melayu yang amat berhati-hati dalam menentukan jodoh dan menunjukkan kesopanan dalam setiap tingkahlaku. Sudah menjadi rutin dalam kehidupan seharian masyarakat Melayu untuk tidak tergopoh-gapah

dalam mengendalikan apa sahaja dan adalah menjadi pegangan bahawa setiap hal yang dilaksanakan perlu dijalankan dengan rapi dan tersusun mengikut adat yang ditetapkan.

Setelah tamat tempoh yang diberikan, biasanya 2 hari, namun ada juga yang sampai seminggu, pihak perempuan akan menghantar rombongan yang dihadiri oleh orang tua-tua yang mewakili pihak mereka untuk memberikan

jawapan. Sekiranya pinangan diterima, pada pertemuan itu mereka akan berbincang tentang segala syarat berkenaan mas kahwin dan hantaran perbelanjaan majlis perkahwinan. Tarikh yang sesuai juga akan dipilih untuk

 melangsungkan perkahwinan. Sekiranya perkahwinan itu agak lambat dijalankan, pihak lelaki biasanya akan Menghantar Tanda terlebih dahulu kepada pihak perempuan.

Konsep Menghantar Tanda adalah diertikan sebagai “putus cakap”. Ini bermaksud pinangan dari pihak lelaki sudah pun diterima oleh pihak perempuan. Oleh yang demikian, maka penghantaran tanda daripada lelaki kepada anak dara yang bakal dikahwininya akan dilakukan melalui upacara bertunang. Upacara ini membawa pengertian bahawa

 anak dara tersebut sudah pun dimiliki dan kini dipanggil tunangan orang. Tanda yang dihantar oleh lelaki tersebut mengikut adat lazimnya adalah sebentuk cincin sahaja, iaitu cincin berbatu intan atau berlian, besarnya mengikut citarasa dan kemampuan ibu bapa lelaki tersebut. Namun begitu, bagi masyarakat Melayu, selain cincin, beberapa

 barangan lain turut diberikan seperti sepasang kain dan selendang, selipar atau sepatu, kuih-muih, manisan, dan yang paling utama dan dianggap sakral, sirih junjung. Semua hantaran akan dihias dengan cantik dan menarik serta akan dibalas oleh pihak perempuan sebagai tanda setuju menerima pinangan. Jumlah hantaran yang dihantar

 oleh pihak lelaki akan dibuat dalam angka ganjil dan dibalas lebih oleh pihak perempuan, selalunya sebanyak dua dulang. Contohnya, jika pihak lelaki memberikan 7 hantaran dulang, biasanya pihak perempuan akan membalas 9 dulang. Hantaran dari pihak perempuan biasanya berupa sirih junjung, sepersalinan baju melayu, capal dan kuih-muih.
Sekiranya dalam tempoh menunggu diijabkabulkan, ikatan pertunangan diputuskan oleh pihak lelaki, maka cincin dan segala barang hantaran tidak boleh diminta semula dari pihak perempuan. Berbeza pula halnya jika ikatan

pertunangan diputuskan oleh pihak perempuan. Jika ia diputuskan tanpa sebarang sebab yang dapat diterima umum, maka pihak perempuan hendaklah mengembalikan semula segala hantaran yang telah diberikan oleh pihak lelaki itu dalam nilai sekali ganda banyaknya atau harganya.
Selain dari adat pertunangan yang disebutkan di atas, terdapat 2 lagi cara pertunangan yang juga wujud dalam adat resam Melayu, iaitu :

•  Pertunangan yang dilakukan oleh ibu bapa kedua-dua pihak sewaktu anak mereka masih kecil lagi, dan ini tidak memerlukan penghantaran tanda. Hal ini berlaku mungkin kerana ikatan persahabatan yang erat dan mesra di

antara ibu bapa kedua belah pihak dan ikatan itu diharapkan dapat merapatkan lagi ikatan silaturrahim antara mereka. Pertunangan yang demikian biasanya dihormati dan dilangsungkan sehingga kedua-dua anak itu berkahwin.

•  Pertunangan mengikut wasiat salah seorang daripada ibu bapa yang telah meninggal dunia di antara dua buah keluarga. Ini juga tidak memerlukan penghantaran tanda dan biasanya diakhiri dengan ikatan perkahwinan.

MAJLIS PERKAHWINAN PERKAHWINAN
Di antara kesemua adat resam orang Melayu, upacara atau aturan yang berhubung dengan perkara nikah kahwin adalah sesuatu yang amat diambil berat dan dianggap penting. Ia akan dijalankan secara besar-besaran dan

melibatkan kesemua anggota masyarakat setempat yang dikenali sebagai penduduk sekampung serta seluruh sanak saudara. Oleh hal yang demikian, adat ini dikategorikan sebagai adat yang paling rumit dilaksanakan kerana

 memerlukan modal yang banyak untuk menjalankan kenduri kendara, majlis persandingan dan lain-lain upacara di samping memerlukan tenaga kerja yang ramai dan memakan masa yang panjang. Dalam adat nikah kahwin ini

, bagi masyarakat Melayu, terdapat 3 fasa yang perlu dilalui sebelum sesebuah rumahtangga didirikan dan ia merupakan suatu adat yang perlu dipatuhi bagi melengkapkan sesuatu perkahwinan.


MENGHANTAR BELANJA DAN AKAD NIKAH
Mengikut adat resam, menghantar belanja biasanya dijalankan terlebih dahulu dan berasingan dengan upacara akad nikah, tetapi pada zaman sekarang,

 menghantar belanja selalu dijalankan bersama dengan akad nikah dengan tujuan menjimatkan masa dan perbelanjaan. Di antara barang-barang yang

termasuk dalam kategori wajib bagi melengkapkan sesuatu hantaran adalah seperti berikut, dan hantaran tersebut akan turut sama diarak dengan mempelai sebelum bersanding.

•  Wang mas kahwin dan belanja (ada yang menyerahkan wang mas kahwin tersebut terus ke tangan isteri selepas selesai upacara akad nikah) yang
diletakkan di dalam dulang atau batil bertudung diperbuat daripada perak atau tembaga putih.

•  Sebentuk cincin permata berbatu intan atau ber1ian yang diletakkan di dalam cembul atau kotak perak.

•  2 pasang kain dan sehelai baju dari jenis yang cukup baik dan berkualiti, dilipat di dalam talam perak atau tembaga putih bertudung.

•  Beberapa jenis kuih juadah, yang setiap satunya diletak di dalam sebuah pinggan besar bertudung dan dihias beralaskan talam.

•  Beberapa jenis buah-buahan yang segar disusun di dalam bekas atau talam ditudung.

•  Tepak sirih atau puan perak atau tembaga putih yang diisi lengkap.

•  Satu atau dua perecik atau perenjis air mawar dan dua kaki dian atan lilin.

Semua barang tersebut akan dibawa setiap satunya oleh seorang pemuda dan diarak daripada rumah mempelai itu ke rumah pengantin perempuan bersama-sama dengan mempelai yang sudah siap berpakaian lengkap Melayu asli atau pakaian haji iaitu berserban dan berjubah bagi memulakan upacara Majlis Akad Nikah. Mempelai dan rombongannya akan disambut oleh pihak pengantin perempuan dan mereka akan terus dibawa naik ke rumah. Semua barang hantaran akan diatur, biasanya di hadapan pelamin. Pelamin ialah suatu ruang yang telah disiapkan biasanya seminggu sebelum majlis perkahwinan berlangsung dan ia merupakan tempat di mana kedua-dua pengantin akan bersanding di hadapan semua tetamu.

Sebelum akad nikah dijalankan, wang belanja, sama ada dengan mas kahwinnya sekali atau tidak dan barang-barang hantaran, seperti cincin akan dihitung dan diperiksa oleh tuan kadi bersama dua orang yang dilantik sebagai saksinya bagi mewakili pihak perempuan. Sekiranya ia bukan majlis akad, bererti tuan kadi tidak hadir sama di majlis tersebut, wang dan barang-barang yang dihantar akan diterima oleh seorang wakil dari pihak perempuan beserta dua orang saksi yang dipilih dari kalangan tetamu yang hadir di majlis tersebut.

Setelah selesai adat penerimaan kesemua wang dan barang-barang tersebut, tepak sirih, talam bunga rampai dan perenjis air mawar akan ditinggalkan di ruang tamu, manakala barang-barang hantaran yang lain akan dibawa masuk ke dalam bilik pengantin. Mempelai kemudiannya akan diminta duduk di atas sebidang tikar sila khas yang dihias indah untuk upacara akad. Tuan kadi akan memulakan majlis dengan mendaftarkan nama mempelai itu

terlebih dahulu, diikuti dengan menyatakan dan menyemak segala syarat-syarat yang dikehendaki dan akhir sekali membaca khutbah nikah dalam bahasa Arab. Setelah selesai khutbah nikah itu dibacakan, maka tuan kadi akan memanggil dua orang yang telah dipilih sebagai saksi di dalam buku daftar nikah untuk duduk berhampiran dengan mempelai. Tujuan saksi dipanggil adalah untk mendengar dan menyaksikan pengakuan lafaz nikah daripada tuan kadi kepada mempelai. Lafaz tersebut perlulah dibalas dalam satu nafas serentak dengan penyudah sebutan lafaz nikahnya apabila tangan mempelai itu digoncang oleh tuan kadi.

Tuan kadi akan memegang tangan kanan mempelai itu dengan tangan kanannya, atau lebih mudah lagi dikatakan berjabat tangan kanan, lalu dimulakan akad dengan melafazkan kata seperti berikut: "Hai polan bin polan, aku nikahkan dikau dengan polan binti polan, yang telah memperwakili ia akan daku dengan mas kahwin sebanyak $.... (tunai atau hutang) dan belanjanya sebanyak $....”. Sebaik sahaja perkatan yang akhir itu habis dilafazkan, tuan kadi akan menggoncang tangan mempelai tersebut dan dengan serta-merta pada saat tersebut mempelai

dikehendaki menjawab dalam satu nafas dengan terang, jelas dan betul serta boleh didengar oleh tuan kadi dan kedua-dua saksi. Jawapan lafaznya adalah seperti berikut : "Aku terima nikahnya polan binti polan dengan mas kahwin sebanyak $.....(tunai/hutang)”. Sekiranya mempelai tersebut menjawab dengan lambat, teragak-agak atau tidak terang, maka tuan kadi akan mengulangi sekali atau beberapa kali lagi lafaz akad tersebut sehingga dia dan kedua-dua saksinya berpuas hati dengan jawapan mempelai itu.

Setelah selesai, doa akan dibacakan oleh tuan kadi. Mempelai kemudiannya akan bangun bersalam-salaman bermula dengan tuan kadi, kemudian bapa rnertuanya, dan akhir sekali dengan tetamu yang hadir sebelum diarak pulang ke rumahnya. Bunga rampai dan sirih pinang yang dibawa oleh mempelai akan dibahagikan kepada tetamu

yang hadir selepas jamuan diadakan manakala bekas-bekas kuih dan juadah serta buah-buahan yang diterima dari pihak lelaki akan dibalas oleh pihak perempuan dengan balasan yang berpatutan dan akan dibawa pulang oleh pihak lelaki ke rumah mempelai. Setelah mempelai berarak pulang, jamuan akan diadakan di rumah pengantin

perempuan. Biasanya di majlis akad nikah, kenduri secara besar-besaran tidak diadakan. Pihak pengantin perempuan hanya mengadakan jamuan kuih-muih atau nasi tetapi jenis dan bilangan lauk-pauknya tidaklah sebanyak lauk-pauk sewaktu kenduri bersanding. Ini kerana biasanya majlis akad tidak dihadiri oleh ramai tetamu luar, melainkan saudara-mara dan ahli keluarga.