MELENGGANG PERUT

• Tujuh helai kain yang berlainan warna.
• Satu gantang beras.
• Sebiji buah kelapa.
• Beberapa urat benang.
• Satu batang damar.
• Sedikit minyak kelapa atau minyak urut.
• Beberapa batang lilin.
• Satu tepak sirih, yang lengkap dengan isinya.
• Pengeras wang sebanyak lima suku ($1.25) di dalam tepak itu.
Setelah semua barang tersebut disediakan, tok bidan akan menjalankan adat melenggang perut seperti berikut:
Mula-mula tok bidan membentangkan ketujuh-tujuh helai kain berwarna itu secara melintang sehelai demi sehelai. Ibu yang hamil itu akan dibaringkan di atas lapisan-lapisan kain tersebut. Kemudian, perut ibu itu akan diurut dengan minyak kelapa atau minyak urut secara perlahan-lahan.
Selepas itu, kelapa yang sudah dikupas tersebut akan diguling-gulingkan secara perlahan-lahan di atas perut ibu itu ke atas dan ke bawah sebanyak tujuh kali dan pada kali yang ketujuh itu, kelapa itu akan dilepas serta dibiarkan jatuh bergolek daripada perut ibu itu sambil diperhatikan oleh tok bidan itu. Tok bidan akan memerhatikan bagaimana kedudukan muka atau mata kelapa itu setelah berhenti bergolek. Jika mata kelapa itu menghala ke atas, ibu itu akan beroleh anak lelaki, dan jika ia menghala ke bawah, anak perempuan akan dilahirkan.
Setelah itu, sebelah tangan tok bidan akan memegang satu hujung kain lapisan atas sekali dan dengan tangannya yang sebelah lagi, dipegangnya hujung yang satu lagi. Kemudian kain itu diangkatnya sedikit sambil dilenggang-lenggangkan badan ibu itu. Dari sinilah terbitnya panggilan Lenggang Perut itu. Selepas itu, kain itu ditarik keluar daripada bawah badan ibu tersebut. Perbuatan ini akan dilakukan sehingga habis ketujuh-tujuh helai kain itu dikeluarkan dari bawah pinggang ibu tersebut. Kain yang di bawah sekali akan diberikan kepada tok bidan bersama-sama dengan kelapa, beras, damar, sirih pinang beserta dengan wang pengeras lima suku di dalam tepak sirih itu.
Biasanya, pada hari melenggang perut akan diadakan kenduri kecil-kecilan yang akan dihadiri oleh orang tua-tua dan kaum keluarga yang rapat. Pada masa kenduri itu berlangsung, si ibu yang akan melenggang perut itu akan dipakaikan dengan pakaian yang baru dan cantik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan