Ahad, 19 Jun 2011

ADAT RESAM MELAYU. berkhatam al qur'an.

BERKHATAM AL-QURAN
Dalam masyarakat Melayu, ilmu pengajian Al-Quran adalah amat ditekankan dalam kehidupan seharian. Anak-anak telah dididik dan diasuh untuk membaca Al-Quran semenjak kecil lagi. Bertitik tolak dari itu, maka muncullah pantun yang sehingga kini masih diamalkan oleh para ibu untuk mendodoikan anak mereka yang masih di dalam buaian.
Buai tinggi-tinggi, 
Sampai cucur atap, 
Belum tumbuh gigi, 
Sudah pandai baca kitab.
Bagi masyarakat Melayu zaman dahulu, mereka menghantar anak mereka untuk mempelajari Al-Quran di pondok-pondok agama atau di madrasah. Di sana , terdapat seorang guru agama yang akan mengajar anak-anak mereka membaca Al-Quran sehingga tamat. Bagi zaman kini, konsep yang sama masih digunakan, yang berbeza cuma cara ia dijalankan. Ada sesetengah ibu bapa yang mengajar sendiri anak mereka, dan ada juga yang menjemput ustaz atau guru agama datang ke rumah untuk mengajar anak mereka. Tidak kira bagaimanapun caranya, yang pasti, setelah tamat menghabiskan pengajian membaca Al-Quran atau dalam bahasa Arab dipanggil Khatam Al-Quran, satu kenduri kesyukuran akan dijalankan oleh ibu bapa dan kenduri ini akan dihadiri oleh semua ahli keluarga dan penduduk setempat.
Dalam kenduri tersebut, seorang guru akan dipanggil untuk menyemak bacaan anak-anak yang bakal khatam Al-Quran. Ayat-ayat Al-Quran dari surah-surah yang terakhir dalam Al-Quran bermula dari surah Ad-Dhuha sehingga surah An-Nas akan diperdengarkan kepada tetamu dan setelah tamat tuan guru tersebut akan membacakan doa khatam Al-Quran, menandakan kanak-kanak tersebut sudah diiktiraf tamat membaca Al-Quran. Namun begitu, ini tidak bererti mereka tidak perlu lagi membaca Al-Quran dalam kehidupan sehari-hari. Upacara ini sebenarnya menandakan bahawa kanak-kanak tersebut sudah tidak lagi memerlukan seorang guru untuk menyemak bacaan mereka setiap kali mereka membaca Al-Quran. Bermula dari hari tersebut, mereka hanya perlu membaca Al-Quran sendiri kerana mereka telah dianggap fasih dan mahir dalam membaca Al-Quran. Selepas tamat bacaan doa, para tetamu akan dijamu dengan makanan yang istimewa, bersesuaian dengan konsepnya iaitu mengadakan kenduri kesyukuran supaya rahmatnya dapat dirasai bersama di kalangan semua anggota masyarakat.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan