Ahad, 19 Jun 2011

ADAT RESAM MELAYU. bercukur jambul.

BERCUKUR JAMBUL
Selepas tujuh hari dari hari bersalin, lazimnya diadakan kenduri nasi kunyit, kerana itulah harinya adat mencukur kepala anak kecil itu dijalankan. Kelengkapan yang disediakan untuk adat mencukur ini adalah seperti berikut:
•  Anak kecil atau bayi itu dipakaikan dengan pakaian yang cantik dan diletakkan dia di atas tilam kecil.
•  Satu dulang berisi tiga biji mangkuk atau piring yang berisi air tepung tawar, beras kunyit dan bertih.
•  Sebiji kelapa mumbang yang besar sedikit dipotong pada arah kepalanya dengan potongan berkelok-kelok siku-keluang dan dijadikan penutupnya daripada potongan itu. Air kelapa itu dibuang dan diisi ke dalamnya sedikit air sejuk, dan kelapa itu diletakkan di dalam sebiji batil semuat-muat kelapa itu sahaja. Biasanya, kelapa itu dihiasi dengan lilitan rantai emas atau perak dan dicucuk dengan tajuk-tajuk rekaan yang indah-indah rupanya.
Apabila kesemuanya sudah siap, maka bayi itu pun dibawa keluar dan dikelilingkan kepada tetamu-tetamu lelaki yang hadir dan setiap seorang daripada mereka dikehendaki menepuk sedikit tepung tawar, menebar sedikit beras kunyit dan bertih kepada bayi itu. Setelah perkara tersebut dilakukan, barulah tetamu-tetamu lelaki tadi menggunting sedikit sahaja rambut bayi itu dengan gunting yang telah disediakan. Lalu rambut yang digunting itu dimasukkan ke dalam kelapa yang telah diisi air. Bilangan orang yang menggunting rambut bayi itu hendaklah dalam bilangan yang ganjil, iaitu tiga, lima atau tujuh atau seumpamanya. Pada masa inilah anak itu diberi nama oleh si bapa. Nama yang diberi adalah nama yang indah dan memberi maksud yang baik. Setelah selesai adat bercukur dan memberi nama anak yang telah dilakukan oleh pihak lelaki, anak itu akan dibawa masuk ke dalam rumah itu dan hal seperti menggunting rambut anak itu dilakukan pula oleh pihak perempuan.
Setelah selesai kedua-dua pihak lelaki dan perempuan menjalankan perkara di atas, maka barulah kepala anak itu dicukur seluruhnya oleh tok bidan atau sesiapa yang mahir dengan kerja itu. Rambut anak yang telah dicukur itu dimasukkan semuanya ke dalam kelapa itu dan segala rantai dan tajuk-tajuk yang menghiasi kelapa itu dibuka dan dicabut. Kemudian kelapa itu biasanya akan ditanam di mana-mana di halaman rumah bersama-sama sepohon kelapa atau lain-lain seumpamanya sebagai peringatan masa anak itu dilahirkan pada masa hadapan kelak. Namun begitu, orang Melayu di bandar yang sudah moden sekarang tidak banyak lagi menjalankan adat ini, rata-rata orang Melayu kampung sahaja yang masih banyak dan gemar melakukan adat resam mencukur dan menamakan anak. Berkenaan dengan menamakan anak undang-undang kerajaan telah menetapkan bahawa anak yang baru dilahirkan perlulah diberi nama dalam tempoh 24 jam kerana dalam tempoh itu anak yang telah diberi nama itu dikehendaki didaftarkan di pejabat pendaftaran.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan